RANTAU PANJANG: Dua lelaki maut apabila motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan Perodua Myvi yang memasuki arah bertentangan dalam kejadian di Kampung Rahmat, Lubok Stol, di sini, jam 12.05 tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed, berkata mangsa, Mohamad Ghadafi Mohd Tahir, 30, yang juga penunggang motosikal maut di lokasi kejadian, manakala, pembonceng, Kamarodeng Chemae, 28, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Katanya, ketika kejadian kereta yang dipandu lelaki berusia 27 tahun itu bergerak dari arah Rantau Panjang ke Jeli, sebelum memasuki jalan bertentangan selepas mengelak haiwan yang melintas jalan secara tiba-tiba.
“Susulan itu, kereta dan motosikal kemudian bertembung terbabas ke dalam gaung berdekatan. Kedua-dua mangsa dibawa ke Unut Forensik Hospital Pasir Mas (HPM) untuk dibedah siasat.
“Manakala pemandu kereta dan seorang lagi penumpang wanita berusia 26 tahun mengalami kecederaan luaran dan dirawat dizon kuning hospital yang sama,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Kama berkata, hasil siasatan juga mendapati pemandu kenderaan yang juga seorang buruh tidak mempunyai lesen memandu.
Menurutnya, pengguna jalan raya dinasihatkan agar berhati-hati dan memandu dengan cermat kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku di sepanjang perjalanan yang mungkin boleh membawa maut.
Tambahnya, had kelajuan perlu dijaga terutama di jalan yang berliku atau kawasan penempatan penduduk bagi mengelak sebarang insiden yang tidak diingini.