comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Dua maut, kereta bertembung 

 

BATU PAHAT: Dua pemandu maut selepas kereta yang dipandu bertembung di Kilometer 103 Jalan Johor Bahru-Melaka, berhampiran Tanjung Labuh, dekat sini, lewat malam tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu wanita, Chin Sio Mei, 43, dari arah Rengit menghala ke Batu Pahat bertembung dengan sebuah lagi kereta yang dipandu Mohammad Ariff Azeem Ahmad, 22, dari arah bertentangan pada 11.40 malam.

Beliau berkata, kedua-dua pemandu yang berasal dari Batu Pahat itu mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil untuk diambil keterangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rengit Pegawai Bomba Kanan II Zulhaizan Ishak dalam kenyataan berkata, lapan anggota bersama satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) bergegas ke lokasi sejurus selepas menerima panggilan kecemasan.

Katanya, mangsa yang tersepit di bahagian pemandu dikeluarkan oleh Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dengan menggunakan peralatan ‘rescue tools’ dan mangsa diserahkan ke pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“PKO kemudiannya bertindak membersihkan kesan kemalangan dengan menggunakan satu aliran salur bantu mula dan air tangki pam jentera. Operasi ditamatkan pada 12.49 tengah malam,” katanya. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini