Oleh: Zahir Senapiah
MUAR: Seorang lelaki warga emas dan seorang wanita warga asing maut manakala seorang pemandu lori kontena cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah lori dan sebuah kereta di Jalan Bakri menghala Ayer Hitam, dekat Bukit Naning, petang tadi.
Kejadian dilaporkan berlaku jam 4.15 petang ketika hujan renyai-renyai.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, pihaknya menerima panggilan jam 4.39 minit petang.
Seorang lelaki warga emas dan seorang wanita warga asing maut manakala seorang pemandu lori kontena cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah lori dan sebuah kereta di Jalan Bakri menghala Ayer Hitam, dekat Bukit Naning, petang tadi. pic.twitter.com/75ZYowHoFQ
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) August 19, 2024
Sebuah kereta bomba bersama sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Muar diketuai Pegawai Bomba Kanan Dua, Mohd Fettry Mahat dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya pasukan keluaran operasi mendapati 3 buah kenderaan iaitu sebuah lori hino, sebuah lori kontena dan sebuah kereta Proton Iswara terbabit dalam kemalangan.
“Pemandu kereta Proton Iswara seorang lelaki berumur 60 tahun dan penumpang wanita warga asing tersepit di tempat duduk dan anggota bomba berjaya mengeluarkan kedua-dua mangsa namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM yang berada di lokasi” katanya.
Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Pemandu lori kontena berumur 35 tahun turut cedera dihantar ke hospital untuk rawatan manakala pemandu lori Hino berumur 48 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.