![](https://media.buletintv3.my/2025/02/DUA-CEDERA.jpg)
KUALA KRAI: Dua maut manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kuala Krai-Gua Musang dekat Kampung Sam, di sini, petang tadi.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai Pegawai Bomba Kanan I (PBKI) Mohd Razani Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan pada jam 4.50 petang.
Katanya, seramai sembilan anggota dari BBP Kuala Krai termasuk tiga bomba sukarela (PBS) Guchil bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati berlaku kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu Perodua Axia, Honda City dan lori lima tan.
“Pemeriksaan yang dilakukan mendapati terdapat empat individu di dalam Perodua Axia dan dua daripadanya termasuk pemandu disahkan meninggal dunia.
“Mangsa tersepit di dalam Perodua Axia dikeluarkan menggunakan peralatan khas, manakala mangsa yang mengalami kecederaan parah dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Katanya, walau bagaimanapun, pemandu Honda City dan pemandu lori lima tan tidak mengalami kecederaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.