BUKIT MERTAJAM: Dua maut dipercayai pasangan tunang selepas motosikal mereka dilanggar sebuah kereta yang dipandu seorang remaja lelaki berusia 16 tahun.
Kemalangan berlaku di kilometer (KM) 1.9 Jambatan Pulau Pinang menghala arah Perai, di sini, awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu dikatakan berlaku apabila kereta dipandu remaja terbabit melanggar belakang sebuah lori sebelum kenderaannya hilang kawalan dan merempuh motosikal ditunggang pasangan berkenaan.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, impak kemalangan itu menyebabkan kedua-dua mangsa masing-masing berusia awal 20-an maut di lokasi kejadian.
Dua maut dipercayai pasangan tunang selepas motosikal mereka dilanggar sebuah kereta yang dipandu seorang remaja lelaki berusia 16 tahun.
Sumber video tular pic.twitter.com/KtBBLG9Sji
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) November 11, 2023
“Manakala pemandu kereta cedera ringan, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila remaja lelaki warga tempatan yang datang dari arah Pulau menuju Perai disyaki telah melanggar bahagian belakang sebuah lori.
“Ekoran pelanggaran itu menyebabkan kereta yang dipandu hilang kawalan sebelum melanggar motosikal yang dinaiki lelaki dan pembonceng wanita warga tempatan yang menyebabkan kedua-duanya mengalami cedera parah lalu meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Jelasnya, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat.
Mengulas lanjut, Cheng San berkata, pemandu kereta ditahan reman selama sehari bagi membantu siasatan.
“Polis turut meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian berkenaan tampil untuk membantu siasatan.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada mana-mana balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Muhammad Sufi Abd Razak di talian 013-4774542 atau 04-5382222,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.