KENINGAU: Dua lelaki maut manakakala seorang lagi parah dalam kemalangan berasingan membabitkan tiga motosikal di Jalan Sook Tulid, di sini, tengah malam dan awal pagi tadi.
Dua mangsa yang maut dalam kejadian itu adalah penunggang motosikal jenis Honda 110, Rain Dahap, 26, dan penunggang motosikal jenis Honda FS150FJ, Juanis Uvil, 30.
Manakala penunggang motosikal jenis 118CC lelaki berusia 23 tahun pula parah di muka dan badan.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, kemalangan pertama berlaku jam 12.15 tengah malam di Kilometer 3, Jalan Sook Tulid.
Katanya, siasatan di tempat kejadian mendapati penunggang motosikal Honda 110CC dari arah Sook menuju ke Tulid.
“Sebaik tiba di lokasi, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas ke sebelah kanan bahu jalan.
“Mangsa parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, kemalangan kedua membabitkan dua penunggang motosikal jenis Honda FS150FJ dan 118CC, yang berlaku di kilometer 5 Jalan Sook Tulid, kira-kira jam 2 pagi.
“Siasatan di tempat kejadian mendapati motosikal 118CC dari arah Sook menuju ke Tulid manakala penunggang motosikal Honda dari arah sama di belakang motosikal 118CC.
“Sebaik tiba di lokasi, kedua-dua lelaki berkenaan dipercayai gagal mengawal motosikal yang ditunggang selepas melalui selekoh dan terbabas,” katanya.
Yampil berkata, akibat kejadian itu, penunggang motosikal Honda parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Seorang lagi penunggang parah di muka dan badan sebelum dihantar ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut.
“Kedua-dua kes kemalangan berkenaan masih diteruskan dan bedah siasat akan dilakukan hari ini,” katanya.
Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.