KUALA KRAI: Dua lori merempuh sebuah rumah dan warung selepas terbabit kemalangan di Kilometer 75 Jalan Kota Bharu–Gua Musang dekat Pahi, petang semalam.
Kejadian berlaku kira-kira 3.15 petang itu menyebabkan pemandu kedua-dua lori terbabit masing-masing berusia 29 dan 39 tahun cedera.
Kemalangan turut membabitkan sebuah motosikal dengan penunggangnya patah kaki kiri, akibat dirempuh salah sebuah lori terbabit.
Dua lori merempuh sebuah rumah dan warung selepas terbabit kemalangan di Kilometer 75 Jalan Kota Bharu–Gua Musang dekat Pahi, petang semalam. pic.twitter.com/OGzsSAevrk
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) December 13, 2023
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Kamarulzaman Harun dalam kenyataan medianya berkata, siasatan awal mendapati lori dipandu lelaki berusia 29 tahun dari arah Gua Musang menghala Kota Bharu sebelum hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.
Lori itu kemudian katanya berlanggar dengan lori lain dan sebuah motosikal sebelum terbabas ke sebelah kanan jalan dan merempuh rumah berhampiran lokasi.
Sebuah lagi lori terbabas di bahu jalan dan merempuh warung yang berada di laluannya.
Pemandu kedua-dua lori bersama penunggang motosikal yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) di Kuala Krai untuk rawatan.
Visual kemalangan itu dirakam orang ramai kemudian tular di media sosial di Kelantan sejak petang semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.