Tumpuan :
Nasional

Dua lemas, seorang masih hilang ketika mandi di pantai

Anggota bomba meneruskan pencarian mangsa di sekitar pantai Kampung Bundusan, Papar. – FOTO: Ihsan JBPM

PAPAR: Dua ditemui lemas, manakala seorang masih hilang ketika mandi di pantai Kampung Bundusan, di sini, petang tadi.

Seorang lagi yang turut sama mandi bersama tiga mangsa berjaya diselamatkan penduduk kampung.

Dua mangsa yang ditemui meninggal dunia setakat jam 7.30 malam ini ialah remaja lelaki, Rizq Aariz Julkarnain Abd Aziz, 14 dan kanak-kanak lelaki, Rubern Vitalis, 7.

Mangsa yang masih hilang ialah Karl Marx Vitalis, 48, manakala mangsa yang berjaya diselamatkan penduduk kampung ialah Matthew Kana Vitalis, 12.

Berdasarkan maklumat Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah, ketika kejadian, keempat-empat mangsa dilaporkan mandi di pantai berkenaan.

“PGO Sabah terima panggilan kecemasan dari MERS999 melaporkan terdapat empat mangsa lemas.

“Terdapat seorang mangsa berjaya dijumpai oleh orang kampung sebelum ketibaan bomba. Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian, bantuan CPR (pernafasan) dijalankan bersama Pegawai Perubatan dari KKM dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Seorang lagi mangsa dilaporkan selamat selepas berjaya diselamatkan oleh orang kampung. Mangsa ketiga berjaya dijumpai oleh pasukan bomba pada jam 6.56 petang, terdampar di tepi pantai.

“Pasukan bomba sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa yang masih hilang,” katanya.

Panggilan kecemasan berhubung insiden itu diterima menerusi MERS999 pada jam 5.37 petang tadi sebelum lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar dikejarkan ke lokasi kejadian.

Operasi SAR diketuai Komander Operasi Kanan PPgB Rozlan Osman dan Komander Operasi, PBK II Dahlan Jainuddin.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini