KOTA TINGGI: Dua ditemui lemas manakala empat lagi berjaya diselamatkan ketika mandi manda di pantai berhampiran Bayu Camp Site, dekat sini, petang tadi.
Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 5.29 petang tadi.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, 15 anggota bersama dua jentera dari Balai bomba Punggai dan Bandar Penawar dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan diketuai Pegawai Bomba kanan dua, Ezam Mistorerrudin.
“Sebaik tiba dilokasi, pasukan penyelamat mendapati terdapat enam mangsa sedang lemas ketika mandi-manda di pantai itu.
“Dengan bantuan orang ramai pasukan penyelamat segera melakukan operasi menyelamat menggunakan jaket keselamatan dan tali.
“Empat mangsa berjaya diselamatkan, namun dua lagi ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya.
Tegasnya, pasukan perubatan daripada KKM kemudian mengesahkan dua mangsa, seorang wanita dewasa berusia 33 tahun dan seorang remaja perempuan berusia 13 tahun, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Semua mangsa termasuk dua yang meninggal dunia dibawa ke hospital untuk rawatan dan proses bedah siasat.
Mayat kedua-dua mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Mangsa yang lemas dikenali sebagai Siti Fatimah Jaafar, 33 dan Nur Arisya Hanan Mohd Salleh, 13 tahun.
Manakala yang berjaya diselamatkan adalah Jaafar Yusof, 60, Nur Qaisara Farhana Mohd Farid, 13 tahun serta dua kanak-kanak, Danial Abu, Nur Alisya Shafiya Jamil masing-masing berumur 10 tahun .
Punca kemalangan masih dalam siasatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.