Tumpuan :
Nasional

Dua lelaki warga Thailand lepas tembakan di sempadan Padang Besar ditahan

Oleh: Ing Boon Seng

KUALA LUMPUR: Dua lelaki warga Thailand ditahan kerana disyaki melepaskan beberapa das tembakan dari sempadan negara jiran berhampiran Padang Besar, Perlis, Khamis lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan tangkapan dilakukan pihak berkuasa negara itu sehari selepas kejadian.

Ketika dihubungi Buletin TV3, Tan Sri Razarudin berkata dua anggota yang sedang menjalankan rondaan Op Taring Wawasan Kedah/Perlis terdengar beberapa das tembakan dari negara jiran dekat tepi pagar keselamatan kira-kira jam 10.28 pagi hari berkenaan.

Pemeriksaan mendapati dua lelaki menaiki sebuah motosikal dilihat berhenti sebelum mengeluarkan sepucuk pistol jenis automatik.

Lelaki tersebut kemudian melepaskan kira-kira 10 das tembakan ke arah sempadan Malaysia.

Tambah beliau, semakan pada kamera litar tertutup (CCTV) lokasi kejadian mendapati dua lelaki berkenaan dilihat mengutip kira-kira 10 kelongsong peluru sebelum beredar dan menghilangkan diri.

Hasil kerjasama dengan pihak berkuasa Thailand, dua suspek berkenaan ditahan pada jam 10.40 pagi Jumaat lalu.

Kedua-dua suspek berusia 28 dan 21 tahun itu yang beralamat di Songkla, dipercayai meminjam dan mencuba senjata api milik rakan mereka.

Jelas Tan Sri Razarudin, pihak berkuasa Thailand masih berusaha mengesan pemilik senjata api tersebut.

Beliau turut mengesahkan insiden tembakan berkenaan tidak mendatangkan kecederaan kepada mana-mana anggotanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini