Oleh Kumaran Rajamoney
BALING: Dua lelaki maut selepas Perodua Viva yang dinaiki mereka melanggar sebuah lori dalam satu kemalangan di Jalan Baru Baling-Kupang, hari ini.
Ketua Polis Daerah Baling, Superitendan Shamsudin Mamat dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 1.02 petang.
Siasatan awal mendapati, lori yang terlibat dalam kemalangan sedang bergerak dari arah Charok Nau menghala ke Kuala Ketil.
Ketika itu, kereta yang dinaiki mangsa sedang bergerak dari arah Kuala Ketil dan hilang kawalan lalu berpusing sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar bahagian hadapan lori.
Kereta itu kemudiannya terbabas dan masuk ke dalam longkang di tepi jalan menghala ke Kupang.
Akibat daripada kemalangan itu, pemandu, Muhammad Hanis Fahmi Abu Bakar, 23 dan penumpang hadapan, Muhamad Firdaus Z.Rosli, 36, tersepit di dalam kenderaan.
Kedua-duanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Manakala seorang kelindan lori mengalami cedera ringan dan dibawa ke Hospital Baling untuk rawatan.
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.