Tumpuan :
Nasional

Dua lelaki maut dalam kemalangan selepas dipercayai berlumba

Motosikal yang ditunggang mangsa remuk akibat kemalangan. – FOTO: Ihsan PDRM

KINABATANGAN: Dua penunggang motosikal maut selepas dipercayai berlumba dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 65 Jalan Sandakan-Lahad Datu, berdekatan Kampung Lot M, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, dua lelaki, bukan warga tempatan, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Sementara, seorang lagi penunggang motosikal yang selamat dipercayai beredar dari kawasan kemalangan.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail, berkata kemalangan membabitkan tiga motosikal yang ditunggang tiga pekerja ladang di daerah ini.

Beliau berkata, siasatan awal di lokasi mendapati, sebelum kemalangan ketiga-tiga penunggang motosikal itu bergerak dari arah Lahad Datu menuju ke Sandakan, disyaki berlumba.

“Namun penunggang dilaporkan hilang kawalan sebelum berlanggar antara satu sama lain.

“Sejurus itu, ketiga-tiga motosikal terbabas ke bahu jalan sebelah kiri jalan.

“Akibatnya, dua daripada lelaki disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Kinabatangan manakala seorang lagi tidak dijumpai di lokasi dan dipercayai beredar dari kawasan kemalangan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, kedua-dua mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kinabatangan untuk dibedah siasat.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua penunggang tidak disyaki mabuk namun sampel darah dan air kencing sudah diambil untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Loading...
Terkini