comscore
Tumpuan :
Nasional

Dua lelaki gagal curi kabel, seorang maut terjatuh bangunan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Percubaan dua lelaki mencuri kabel di sebuah apartmen dekat Kajang Utama, Kajang gagal malah seorang daripada maut dipercayai terjatuh dari tingkat 23 ketika cuba melarikan diri.

Polis menerima laporan kejadian daripada saksi awam pada jam 8.20 pagi dan siasatan awal mendapati kedua-duanya cuba melarikan diri selepas perbuatan mereka disedari pihak keselamatan apartmen.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata pengawal keselamatan berjaya menahan salah seorang suspek, namun seorang lagi dipercayai terjatuh ketika cuba melarikan diri.

Katanya, suspek dikatakan cuba melompat ke aras lain melalui balkoni namun tergelincir dan terjatuh ke tingkat empat bangunan apartmen.

“Suspek yang berusia 29 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik Hospital Kajang.

“Seorang lagi suspek berusia 31 tahun ditangkap bersama enam gulung wayar tembaga dan beberapa peralatan memotong wayar kabel,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, semakan ke atas suspek yang ditangkap didapati mempunyai lapan rekod jenayah lampau dan hasil saringan ujian air kencing didapati positif dadah jenis Methamphetamine.

“Manakala suspek yang maut turut dikesan mempunyai 10 rekod jenayah lampau.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam tubuh badan. ,” katanya.

Untuk kes kematian suspek yang terjatuh bangunan, Naazron berkata kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu untuk menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat kes, Inspektor K Suresh di talian 017-4333795 bagi membantu siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini