Tumpuan :
Nasional

Dua lelaki ditahan seludup kambing bernilai RM100 ribu 

Kambing yang disyaki diseludup dari negara jiran dan diletakkan dalam guni di sebuah lori berbungkus.

SETIU: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu (JPVT) berjaya mematahkan cubaan menyeludup 78 ekor kambing yang bernilai kira-kira RM100,000.

Ia susulan penahanan dua lelaki yang berusia 30-an di Kampung Penarik, di sini kira-kira jam 7.30 malam semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr. Azman Ibrahim berkata, terdahulu pasukan risikan yang menjalankan tugas di sempadan Kelantan-Terengganu telah mengesan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, susulan itu pasukan berkenaan telah mengekori lori berkenaan selama satu jam sebelum penahan dilakukan yang membawa kepada penemuan kambing tanpa sebarang dokumen dan permit pemindahan.

Kambing tersebut disyaki diseludup dari negara jiran dan diletakkan dalam guni di sebuah lori berbungkus.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kambing seludup berkenaan untuk pasaran di luar Terengganu.

Sehubungan itu, beliau turut menasihati orang ramai agar berhati-hati membeli kambing yang ditawarkan dengan harga murah di pasaran kerana dikhuatiri ianya kambing yang diseludup dan berisiko dari segi kesihatan.

“Dan memang disahkan melalui pemeriksaan klinik oleh JPVT bila kambing seludup disembelih didapati ada kerosakan organ dalaman sebab itu kambing ini bila dipelihara ia tidak gemuk kerana ia datang dalam keadaan tak sihat dan bila disembelih penyakit yg dibawa oleh haiwan atau penyakit bawaan ternakan ini, ada sebahagiannya penyakit zoonosis atau penyakit yang boleh berjangkit dari haiwan kepada manusia dan ini sebenarnya kebimbangan utama”, katanya.

Semua hasil tangkapan dibawa ke Jabatan Veterinar Terengganu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Binatang 1953.

Setakat tahun ini, sebanyak 12 kes penyeludupan kambing telah dikesan dengan lebih 500 ekor kambing telah dirampas membabitkan nilai lebih RM1 juta.

Loading...
Terkini