comscore
Tumpuan :
Nasional

Dua lelaki diberkas polis kurang satu jam selepas samun pembantu kedai warga asing

Oleh: Zahir Senapiah

KOTA TINGGI: Polis berjaya memberkas dua suspek lelaki warga tempatan yang dipercayai terbabit dalam kes samun dan mendatangkan kecederaan terhadap seorang pembantu kedai warga asing di sebuah pasar mini di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.30 malam tadi, dua suspek dilaporkan menyamun dan cuba mencederakan warga asing berumur 27 tahun menggunakan sebilah pisau di sebuah pasar mini terbabit.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitanden Yusof Othman berkata, bertindak hasil laporan yang dibuat mangsa, sepasukan pegawai dan anggota polis pencegahan jenayah telah menahan dua suspek di dua lokasi berbeza yang mengaku terbabit dalam kes berkenaan kurang satu jam selepas kejadian.

“Sebaik menerima laporan sepasukan pegawai dan anggota polis melancarkan gerakan mencari suspek sekitar daerah Kota tinggi. Hasilnya dua lelaki warga tempatan masing-masing berumur 25 dan 26 tahun telah ditahan di dua lokasi berasingan bagi membantu siasatan kurang satu jam selepas kejadian” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, pelbagai barangan dirampas termasuk satu helai seluar jeans pendek tidak berjenama, sebilah pisau pemotong daging, wang tunai berjumlah RM284, sebuah motosikal jenis honda C100 dan satu topi keledar.

Ujarnya, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek terlibat dalam kes samun dan mendatangkan kecederaan berkenaan.

Ujian air kencing mendapati dua suspek berkenaan negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah.

Kedua-dua suspek direman selama 5 hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Kes telah disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksima 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil menyalurkan maklumat di balai polis berdekatan atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi di talian 07-883 7222 bagi membantu siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini