KUCHING: Dua suspek ditahan polis bagi membantu siasatan kes individu merusuh dan mencederakan pengawal keselamatan di sebuah kolej di sini pada 19 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ashmon Bajah berkata, penahan dua suspek lelaki berusia 34 dan 40 tahun itu menjadikan empat suspek telah ditahan sehingga kini bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Kedua-dua suspek terbabit ditahan oleh sepasukan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching pada 22 Jun lalu di Jalan Penrissen, Padawan.
“Kita di IPD Kuching masih memburu seorang lagi suspek yang dipercayai terlibat sama dalam insiden terbabit,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing yang dilakukan terhadap keempat-empat suspek terbabit mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
Katanya, kesemua suspek terbabit telah dituduh pada Selasa (25 Jun) di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan atas kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara dan denda.
Suspek terbabit jelasnya turut dituduh di bawah Seksyen 477 Kanun Keseksaan kerana melakukan pencerobohan jenayah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.