Tumpuan :
Nasional

2 lagi ‘safe house’ digeledah, SPRM temui wang asing bernilai RM321,000

Tan Sri Azam Baki ketika ditemui media di pelancaran Konvensyen Integriti, Tadbir Urus & Antirasuah (KITA) Tahun 2024, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini. FOTO: NSTP

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemui dua lagi ‘safe house’ di dua lokasi berasingan sekitar Lembah Klang dan menemui sejumlah wang asing dengan nilai keseluruhan berjumlah RM321,000.

Penggeledahan pada malam Ahad itu dipercayai melibatkan seorang ahli politik berpengaruh.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, ia susulan penemuan ‘safe house’ pertama membabitkan simpanan sejumlah mata wang asing bernilai RM5 juta ketika menggeledah sebuah pangsapuri di ibu kota pada Sabtu malam kelmarin.

Azam turut mengesahkan ahli politik terlibat akan dipanggil memberi keterangan selepas segala bukti dan penemuan dokumen berkaitan diperoleh SPRM.

“Ada tambahan dua ‘safe house’ lagi yang dikatakan ada tersimpan apa ni wang saya boleh umumkan lah salah satu daripadanya ada penemuan lebih kurang dalam S$74,000 ringgit lebih kurang duit kita RM243,000 sekarang ini satu.

“Kemudian di satu tempat pejabat dijumpai wang lebih kurang lebih pada RM78,000 dan kita juga mendapat maklumat ada wang telah dibuat pelaburan di Singapura yang itu saya tak boleh dedahkan berapa jumlahnya siapa pemiliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran Konvensyen Integriti, Tadbir Urus & Antirasuah (KITA) Tahun 2024, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Sabah, Datuk Seri Safar Untong (kiri); Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor (tengah); Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki (kanan) pada pelancaran Konvensyen Integriti, Tadbir Urus & Antirasuah (KITA) Tahun 2024, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini. FOTO: Ihsan JKM Sabah

Tambahnya dijangkakan akan ada lagi penemuan-penemuan baharu ‘safe house’ lain termasuk penyimpanan wang di bank lain dan SPRM masih menjalankan siasatan serta risikan berhubung kes itu.

Setakat ini, Azam mengesahkan jumlah tangkapan keseluruhan adalah seramai empat orang termasuk seorang bekas eksekutif kanan di Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) berkait siasatan skandal rasuah jutaan ringgit berhubung konsesi perlombongan pasir di bawah anak syarikat cabang pelaburan negeri itu.

Katanya, tangkapan dibuat membabitkan tiga lelaki dan seorang wanita, salah seorang daripadanya adalah seorang pengarah syarikat atau seorang ahli perniagaan yang telah ditahan dan direman pada 10 Okboter lalu hingga esok.

“Ada seorang itu yang pernah bertugas di MBI dan dia ini seorang lelaki yang umur lebih kurang 45 tahun tetapi kita hanya berjaya dapat menahan direman satu malam saja kerana dia punya masalah kanser prostat.

“Yang ketiganya seorang ini berjawatan pemandu lelaki umur 43 tahun dia pun direman selama tiga hari itu hari telah pun dilepaskan.

“Seorang lagi wanita adalah bekas seorang pegawai kewangan satu syarikat yang terbabit yang mana syarikat ini adalah yang mendapat konsesi pasir berkenaan yang umurnya 46 tahun pun telah dilepaskan selepas direman lebih tiga hari,” ujarnya.

Tambahnya lagi, setakat ini, 15 orang saksi telah dipanggil dan menjangkakan lebih ramai lagi saksi akan dipanggil untuk membantu siasatan.

“Akan ramai lagi saksi yang akan dipanggil untuk siasatan ke ini akan dibuka juga Kertas-kertas siasatan dan di bawah Akta pengubahan wang haram selain daripada Akta Pencegahan Rasuah 2009 di bawah seksyen 16 kami juga akan membuka beberapa ketas siasatan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini