Oleh: Selwam Arjunan
BALIK PULAU: Lapan termasuk seorang kanak-kanak mengalami kecederaan ringan dalam kemalangan membabitkan dua kereta yang terbakar di Jalan Tun Sardon, di sini, awal pagi tadi.
Kesemua mangsa sempat diselamatkan orang awam dan anggota bomba, manakala kedua-dua kenderaan hangus sepenuhnya dalam kebakaran.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 pagi.
Lapan termasuk seorang kanak-kanak mengalami kecederaan ringan dalam kemalangan membabitkan dua kereta yang terbakar di Jalan Tun Sardon, awal pagi tadi. pic.twitter.com/bkEXbh160G
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) February 11, 2025
Sebuah kereta Perodua Alza yang membawa lima sekeluarga datang dari arah George Town menghala ke Balik Pulau, manakala kereta jenis Mercedes Benz pula dari arah bertentangan.
“Sejurus sampai di selekoh Jalan Tun Sardon, tiba-tiba kereta Mercedes hilang kawalan dan masuk laluan arah bertentangan dan bertembung dengan Perodua Alza.
“Akibat perlanggaran, kedua-dua kenderaan telah terbakar di tempat kejadian.
“Kesemua mangsa berjaya diselamatkan oleh orang awam dan anggota bomba.
“Kedua-dua kenderaan telah terbakar keseluruhan. Kebakaran dipadamkan oleh pihak bomba,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, pemandu dan penumpang Alza iaitu seorang lelaki, tiga wanita dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 hingga 74 tahun mengalami kecederaan di tangan dan kaki.
Manakala, pemandu dan penumpang Mercedes, iaitu tiga lelaki kesemuanya 21 tahun turut cedera ringan di tangan dan kaki.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalanraya 1987.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.