KUALA BERANG: Kemalangan melibatkan dua buah kereta di Kilometer 4 Jalan Gaung-Teris berhampiran Kampung Tajin, di sini, meragut nyawa seorang pelajar Tingkatan Enam, semalam.
Dalam kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 12.55 tengah hari itu, mangsa, Nurnazifa Faizul Azman, 19, yang cedera pada bahagian kaki dan kepala, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4.30 petang, manakala seorang lagi parah dan empat yang lain cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Hulu Terenganu, Deputi Superintendan Hasmerra Hassan, berkata siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa yang memandu kereta PERODUA Kancil bertembung dengan kereta PERODUA Myvi dinaiki tiga penumpang sedang dalam perjalanan dari rumah saudara di Kampung Tajin menghala ke rumah mereka di FELDA Jerangau Barat.
Beliau berkata, mangsa bersama rakannya berusia 19 tahun ketika itu dalam perjalanan dari arah Kampung Bukit Diman ke Telemong.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, berlaku pertembungan antara kedua-dua kenderaan, menyebabkan Nurnazifa tersepit dalam kenderaan dan dibawa keluar daripada kenderaan dengan bantuan pihak bomba.
“Semua mangsa dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan, namun Nurnazifa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4.30 petang.
“Pemandu PERODUA Myvi berusia 25 tahun pula patah tangan kanan, cedera pada kaki dan luka pada badan, manakala empat mangsa lain termasuk penumpang PERODUA Kancil mengalami cedera ringan,” katanya.
Hasmerra berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Rassyied Mohd Noh di talian 018-2054757 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalakan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.