Oleh: Zahir Senapiah
KOTA TINGGI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Johor terpaksa menggunakan “force boarding” dengan menggunakan pesawat udara AS 365 Dauphin bagi menahan dua kapal asing yang enggan bekerjasama selepas dikesan memindahkan minyak tanpa kebenaran di perairan Johor timur, petang semalam.
Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama, Nurul Hizam Zakaria berkata, dua kapal jenis Very Large Crude Carrier (VLCC) dikesan bot ronda Maritim sedang melakukan aktiviti pemindahan minyak kapal ke kapal pada kedudukan 32.1 batu nautika, timur Tanjung Sedili, kira-kira jam 12.35 tengah hari.
Bagaimanapun, kedua-dua kapal berkenaan enggan memberi kerjasama untuk diperiksaanggota bot ronda Maritim menyebabkan pihak Maritim Johor meminta bantuan daripada Bahagian Operasi Udara dan Pasukan Tindakan Khas (PTK) bagi melakukan “force boarding”.
”Kedua-dua kapal terlibat yang didaftarkan dari Panama dan Honduras itu berjaya ditahan pada pukul 6 petang.
”Kapal tangki pertama yang berdaftar dari Panama dikendalikan oleh 26 orangkru berumur diantara 23 hingga 54 tahun, manakala kapal tangki kedua yang berdaftar dari Honduras dikendalikan oleh 26 orang kru berumur di antara 21 hingga 51 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya, nakhoda kedua-dua kapal terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersabit aktiviti yang dijalankan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(K) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 bagi kesalahan melakukan aktiviti kapal ke kapal (STS) tanpa kebenaran dan Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran.
Jika didapati bersalah boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum dua tahun atau
kedua-duanya.
Nakhoda kedua-dua kapal turut disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam
yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Maritim Malaysia memberi amaran tegas kepada semua kapal yang menjalankan aktiviti di perairan Johor mereka perlu mematuhi undang-undang bagi mengelakkan tindakan tegas diambil.