SERI KEMBANGAN: Dua individu maut dalam nahas membabitkan van dan kereta di Jalan Pinggiran Putra, Taman Pinggiran Putra di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 4 pagi itu, mangsa yang meninggal dunia adalah pemandu dan penumpang Proton Wira.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang segera ke lokasi sebaik menerima panggilan jam 4.07 pagi.
“Ketika tiba, dua mangsa dalam kereta iaitu lelaki dan wanita lingkungan 20-an meninggal dunia dan disahkan petugas kesihatan yang hadir.
“Pemandu van iaitu lelaki berusia 50-an tidak cedera,” katanya dalam kenyataan.
Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis.