KUANTAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang menjangkakan akan mengambil masa antara tujuh hingga sembilan hari untuk memadam kebakaran menggunakan dua helikopter di kawasan hutan Gebeng, di sini dan Rompin.
Pengarah JBPM Pahang, Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, kebakaran di kawasan Gebeng membabitkan hutan tanah gambut seluas empat hektar dan api hanya merebak dalam kelompok besar sahaja.
Bagaimanapun, menurutnya kebakaran hutan tanah gambut di Rompin membabitkan beberapa kelompok api yang merebak dengan cepat dalam kawasan seluas lebih 180 hektar.
Katanya, kebakaran terbuka selain angin kencang dan kawasan hutan tanah gambut yang kering menjadi faktor utama menyebabkan api cepat merebak hingga sukar dikawal.
“Helikopter jenis Mi17 akan digunakan memadam kebakaran di Gebeng dan helikopter jenis Agusta digunakan Rompin.Operasi memadam kebakaran di dua kawasan terbabit bermula esok,” katanya meninjau kebakaran di daerah ini dan Rompin, hari ini.
Turut sama Penolong Pengarah Operasi JBPM Pahang, Ismail Abdul Ghani.
Beliau berkata, operasi memadam kebakaran di Gebeng dijangka mengambil masa dua hingga tiga hari, operasi memadam kebakaran di Rompin dijangka antara empat hingga lima hari.
Wan Mohammad Zaidi berkata, kebakaran di kawasan hutan tanah gambut di Inderapura yang berlarutan hingga 11 hari kini hampir padam sepenuhnya, pemantauan tetap dilakukan oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tas.
Katanya, aktiviti pemadaman kebakaran di Rompin tidak dapat dilakukan sepenuhnya berikutan tidak ada jalan untuk jentera masuk ke kawasan terbabit, api merebak dengan cepat jauh ke dalam hutan menyukarkan anggota untuk memadanya.
Seramai sepuluh anggota Unit Khas JBPM akan diturunkan menggunakan helikopter di kawasan hutan tanah gambut di Rompin bagi meninjau keadaan kebakaran.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.