HULU SELANGOR: Seorang wanita ditemukan lemas manakala seorang lagi masih hilang di Air Terjun Kampung Orang Asli Pertak, Kuala Kubu Bharu di sini, hari ini.Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 5.30 petang.
Menurutnya, sepasukan tujuh anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke tempat kejadian.
“Berdasarkan laporan awal, kejadian membabitkan dua wanita dengan identiti tidak dikenal pasti. Mereka dipercayai hanyut dibawa arus deras (kepala air) ketika mandi di lokasi kejadian,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Mohamadul Ehsan berkata operasi mencari dan menyelamat dilakukan anggota bertugas menerusi kaedah ‘water surface searching.’
“Kita pecahkan kepada dua pasukan bagi menyusuri Sungai Pertak. Semasa SAR dijalankan, seorang daripada wanita itu dijumpai di celah batu. Bomba kini dalam proses mengeluarkan mangsa,” katanya.
Beliau berkata, anggota bomba juga dalam usaha mencari mangsa kedua. – BERITA HARIAN