Tumpuan :
Nasional

Dua ETS tambahan dari KL-Padang Besar sempena Deepavali mulai 30 Oktober ini

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menyediakan dua perkhidmatan tren elektrik (ETS) tambahan perkhidmatan bagi laluan KL Sentral ke Padang Besar dan sebaliknya, sempena sambutan perayaan Deepavali yang bakal disambut tidak lama lagi.

KTMB dalam satu kenyataan berkata, perkhidmatan tren tambahan ini akan beroperasi selama lima hari bermula 30 Oktober sehingga 3 November bagi memenuhi permintaan penumpang yang dijangka akan meningkat bagi sambutan perayaan ini.

“Penjualan tiket tambahan itu akan bermula esok pada jam 10 pagi.

“Tren tambahan ini menawarkan sebanyak 630 tiket sehari, menjadikan jumlah keseluruhan tiket sebanyak 3,150 tiket ditawarkan termasuk koc kelas perniagaan,” menurut kenyataan KTMB, di sini, hari ini.

Tren tambahan bagi laluan KL Sentral ke Padang Besar dan sebaliknya ini akan beroperasi hanya pada dua masa saja untuk berlepas iaitu 5 petang dan 11.05 pagi serta masa ketibaan dijangka pada 10.30 malam dan 4.30 petang.

Menurut KTMB, penambahan perkhidmatan itu bertujuan untuk menampung permintaan yang tinggi semasa musim perayaan, sekaligus membantu mengurangkan kesesakan trafik bagi mereka yang ingin pulang ke kampung halaman.

“Orang ramai disarankan membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau laman sesawang rasmi KTMB dan membuat pembayaran menggunakan KTM wallet bagi mempercepatkan proses pembelian tiket.

“Pelanggan dinasihatkan untuk merancang perjalanan dan membuat pembelian tiket lebih awal bagi menikmati tambang fleksibel yang lebih menjimatkan serta mengelakkan pembelian pada saat akhir.

“Penumpang juga diingatkan untuk tiba lebih awal di stesen kerana pagar kawalan akan ditutup lima minit sebelum tren berlepas,” menurut KTMB.

Sebarang maklumat lanjut, sila layari laman sesawang rasmi KTMB di www.ktmb.com.my atau hubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini