comscore
Tumpuan :
Nasional

Dua dokumentari khas TV3 sempena Aidilfitri bakal tambat hati penonton

PETALING JAYA: Bersempena kehadiran Aidilfitri tahun ini, TV3 akan bawa penonton menyelusuri kehidupan keluarga melalui dua dokumentari istimewa iaitu Anugerah Istimewa dan Rindu Tanpa Penghujung.

Anugerah Istimewa memperlihatkan dua buah keluarga yang dikurniakan anak istimewa, menangani takdir kehidupan mereka dengan cara tersendiri.

Kisah pertama, seorang bapa tunggal yang berusaha membesarkan tiga anak lelakinya yang mempunyai kesulitan berbeza. 

Anak sulungnya didiagnos autisme, ADHD dan masalah jantung. Manakala anak keduanya mengalami isu psikiatri dan anak bongsunya pula disahkan ‘selective mutism’. 

Berlainan bagi Dayang, anak kembar lelakinya didiagnos autisme ketika berusia empat tahun, manakala anak bongsunya mengalami masalah pembelajaran sehingga beliau memilih untuk berhenti kerja demi menumpukan perhatian kepada anak-anaknya.

Paparan khas ini bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat terhadap individu autisme bersempena Bulan Kesedaran Autisme pada April.

“Setiap kali menjelang Syawal, tentunya banyak kisah menyayat hati, suka dan duka yang kita dengar, tetapi tidak siapa yang tahu kesayuan hati yang ditanggung oleh keluarga terlibat,” itulah bait-bait awal Fiza Sabjahan selaku hos Rindu Tanpa Penghujung.

Melalui dokumentari ini, penonton akan dibawa mendalami pengalaman serta emosi keluarga mangsa tragedi pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Ogos tahun lalu.

Nor Hikmah Muhammad Salleh yang kehilangan abangnya, Allahyarham Muhammad Hafiz Muhamad Salleh iaitu penunggang motosikal bagi perkhidmatan penghantaran makanan (p-hailing) berkongsi emosi sebelum, ketika dan selepas kemalangan itu berlaku.

Rasa rindu dizahirkan, kerana terpaksa menyambut Aidilfitri kali pertama tanpa keberadaan insan tersayang.

Jangan lepaskan peluang menonton dokumentari-dokumentari khas ini yang semestinya memberi manfaat dan iktibar kepada semua, pada 9 April 2024.

Anugerah Istimewa akan bersiaran jam 9 malam, manakala Rindu Tanpa Penghujung, jam 11 malam.

Anda juga boleh strim secara HD selepas sejam siaran di kaca televisyen melalui www.tonton.com.my, atau muat turun aplikasi Tonton melalui Google Play atau App Store.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV3, layari www.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & X di @TV3Malaysia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini