Tumpuan :
Nasional

Dua daripada enam rakyat Malaysia ditangkap di Sungai Golok ada rekod jenayah lampau dadah

Mohd Yusoff pada sidang media selepas majlis suai kenal bersama media, di sini, hari ini.-FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Polis Kelantan mengesahkan dua daripada enam individu yang ditangkap di sebuah hotel di Golok, Thailand, Jumaat lalu, memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata kedua-dua individu yang mempunyai rekod jenayah itu adalah lelaki.

“Memang dua lelaki daripada enam individu berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan memiliki dadah di Kelantan.

“Sehingga kini kita serahkan kepada polis Thailand untuk siasatan lanjut berhubung kes berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis suai kenal bersama media, di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, rakyat Malaysia termasuk penyanyi dikir barat moden Kelantan, yang ditangkap di sebuah hotel di Sungai Golok, Jumaat lalu kerana memiliki 6,000 pil kuda, dibawa ke Mahkamah Wilayah Narathiwat, pagi tadi.

Tangkapan membabitkan tiga lelaki dan tiga perempuan berusia 25 hingga 32 tahun pada jam 6 pagi (waktu Malaysia) Jumaat lalu, di sebuah bilik selepas selesai berhibur.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada kesemua mereka terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah, Mohd Yusoff tidak dapat mengesahkan perkara berkenaan.

“Namun secara logik takkan 6,000 biji pil kuda untuk milikan atau makan sendiri? Namun saya tidak dapat sahkan sama ada mereka terbabit dengan pengedaran atau sebaliknya.

“Bagaimanapun hasil ujian air kencing terhadap kesemua mereka adalah positif methamphetamine,” katanya.

Loading...
Terkini