comscore
Tumpuan :
Nasional

Dua beranak pelancong warga China maut, pokok tumbang hempap kereta 

Oleh: Selwam Arjunan

GEORGE TOWN: Dua beranak warga China maut selepas kenderaan mereka dihempap pokok tumbang di Lebuh Gereja, di sini, petang tadi.

Mangsa disahkan bapa dan anak perempuannya, merupakan pelancong dari China.

Pegawai Zon Daerah Timur Laut, Penguasa Bomba Mohd Shafiq Noor Azman berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.19 petang dan jentera pertama tiba di lokasi enam minit kemudian.

Kejadian berlaku di tempat letak kereta di perkarangan pusat pelancongan yang dilawati mangsa.

Pemeriksaan mendapati pokok tumbang bersama dinding konkrit, menghempap tiga kereta yang diparkir.

Dua mangsa tersepit dalam salah sebuah kereta terbabit.

“Dua orang mangsa wanita 30-an dan lelaki 50-an, kedua-duanya warga China dikeluarkan pada jam 5.15 petang.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi.

“Kedudukan mangsa wanita di hadapan, manakala lelaki di belakang. Maklumat awal, mangsa baru masuk kereta keluar dari bangunan,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Katanya, seorang lagi yang dipercayai pemandu kereta dipercayai sempat keluar menyelamatkan diri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Razlam Ab Hamid ketika dihubungi mengesahkan kedua-dua mangsa merupakan warga China.

“Hubungan kedua-dua mangsa adalah bapa dan anak. Mangsa wanita berusia 38 tahun manakala bapanya berusia lingkungan 50an.

“Kedua-dua mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini