Tumpuan :
Nasional

Dua beranak maut dirempuh kereta terbabas

Dua beranak maut apabila motosikal dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Kenari 3, Taman Kenari, Kulim. – FOTO: Ihsan Polis

KULIM: Dua beranak maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Kenari 3, Taman Kenari, di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa, A Vinot, 36, yang bekerja sebagai pemandu van kilang dipercayai meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kulim akibat kecederaan di bahagian kepala.

Anak lelakinya, V Naviness, 8, pula meninggal dunia di tempat kejadian juga parah di kepala dan muka.

Difahamkan, kedua-dua beranak itu menetap di Taman Kenari.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Hj Zulkifli Azizan berkata, Balai Polis Trafik menerima panggilan berhubung kemalangan itu daripada orang awam pada jam 5.20 petang memaklumkan berlaku kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha 135 LC yang dinaiki dua beranak itu dengan kereta terbabit.

Beliau berkata, siasatan polis mendapati kemalangan dipercayai berlaku pada jam 5.07 petang di Jalan Kenari 3, Taman Kenari.

“Siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu seorang wanita berusia 32 tahun itu hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan motosikal yang dinaiki dua beranak itu yang sedang bergerak lurus.

“Akibat kemalangan itu, pembonceng motosikal itu yang juga murid Tahun Dua itu mengalami kecederaan serius di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.

“Manakala penunggang motosikal itu mengalami kecederaan di bahagian kepala dan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kulim,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zulkifli berkata, hasil siasatan dan punca kemalangan itu dipercayai akibat pemandu kereta itu yang hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan motosikal terbabit.

Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing terhadap wanita terbabit mendapati dia bebas daripada pengaruh dadah dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk tindakan lanjut Dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini