Tumpuan :
Nasional

Dua beradik terbunuh dalam kemalangan

 

Oleh: Fazli Ahmad

KUANTAN: Dua beradik terbunuh selepas kereta mereka naiki terbabit kemalangan dengan lori tangki di Jalan Kuantan – Segamat berhampiran lampu isyarat simpang ke Felda Lepar Hilir, dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata dalam kemalangan kira-kira jam 11 malam itu dipercayai berlaku setelah lori tangki membawa muatan petroleum dari arah Muadzam Shah ke Gambang hilang kawalan dan memasuki lorong bertentangan.

Katanya, kejadian itu menyebabkan lori tangki terbabit merempuh Proton Wira dinaiki dua beradik terbabit.

Menurutnya, akibat kemalangan itu pemandu Proton Wira, Siti Nur Alia Saffiyah Zulkifli, 18, dan kakaknya Siti Mazurah, 30, dari Felda Lepar Hilir, maut di tempat kejadian manakala pemandu lori tangki berusia 31 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Lokasi kejadian membabitkan jalan lurus, sistem jalan satu lorong satu hala, permukaan jalan rata tetapi permukaan jalan basah kerana hujan,”

“Polis tidak menolak kemungkinan siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kerana kecuaian pemandu lori tangki mengawal kenderaan ketika memandu,”

“Pemandu lori terbabit ditahan untuk siasatan lanjut tetapi ujian saringan air kencing dijalankan terhadap lelaki terbabit mendapati ketika kejadian bebas daripada pengaruh dadah” katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.

Katanya, kemalangan terbabit disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan jalan 1987.

Mayat dua beradik terbabit dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

Loading...
Terkini