Oleh Zahir Senapiah
PASIR GUDANG: Dua beradik berdepan detik cemas selepas terperangkap dalam rumah mereka yang hangus di Jalan Tembikai 17, Taman Kota Masai dekat sini awal pagi tadi.
Kebakaran membabitkan tiga rumah teres berlaku jam 3.37 pagi ketika mangsa sedang tidur.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Sarhan Akmal Mohamad berkata, dua beradik yang dikenali sebagai Azian Zainalabidin, 20 dan kakaknya Murni Atikah, 25 sedang tidur di tingkat atas rumah berkenaan.
Katanya, selepas menerima panggilan kebakaran, 21 anggota BBP Pasir Gudang dan BBP Johor Jaya dikerah ke lokasi kemalangan.
“Sebaik tiba anggota bomba masuk ke rumah dan menyelamatkan kedua mangsa yang pengsan” katanya dalam satu kenyataan.
Susulan itu bantuan awal kecemasan diberikan kepada kedua mangsa dan mereka kemudiannya berada dalam keadaan separa sedar sebelum dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk rawatan lanjut.
Terdapat seramai tujuh ahli keluarga berada dalam rumah berkenaan ketika kejadian.
Bagaimanapun dimaklumkan ahli keluarga yang lain dapat keluar dan menyelamatkan diri.
Hasil siasatan awal mendapati, kebakaran berpunca daripada bahagian garaj rumah berkenaan.
Bagaimanapun, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat.
Turut terbakar ialah tiga buah kenderaan termasuk sebuah Toyota Yaris, Toyota Avanza, Proton Saga serta tiga motosikal.