KOTA TINGGI: Dua beradik maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan di Jalan Kota Tinggi ke Penawar berhampiran Air Tawar 3 pada pagi hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.33 pagi hari ini.
Kemalangan membabitkan lima mangsa yang menaiki dua kenderaan termasuk pacuan empat roda Toyota Hilux dan Proton Wira.
Dua daripada mangsa maut di tempat kejadian, dua mengalami kecederaan parah dan seorang mengalami kecederaan ringan.
“Anggota Bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian hadapan kereta jenis Proton Wira dan menyerahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.
“Manakala mangsa yang mengalami kecederaan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Dua mangsa yang maut ialah Mohamad Syahriel Aiman Darwis, 22 dan Nurul Saidatul Akmar Darwis, 36.
Manakala dua lagi mangsa yang mengalami kecederaan parah adalah Rukiah Mohd Alwee, 61 dan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima bulan.
Sementara pemandu Toyota Hilux, Suano Jamarin, 57, selamat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.