Tumpuan :
Kemalangan

Dua beradik maut dalam kemalangan tiga kenderaan

Keadaan kereta Proton Saga yang remuk dalam kemalangan di KM8 Jalan Jerantut- Benta dekat Kampung Lata Kasah yang melibatkan 3 buah kenderaan

JERANTUT: Dua beradik maut dalam kemalangan jalan raya di KM 8 Jalan Jerantut- Benta dekat Kampung Lata Kasah yang melibatkan 3 buah kenderaan pada jam 1.54 tengah hari tadi.

Pemandu kereta Proton Saga, berusia 23 tahun cedera parah di bahagian kepala dan maut di tempat kejadian serta kakaknya berusia 27 tahun yang duduk di tempat duduk penumpang belakang mengalami kecederaan di dada dan kepala, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Jerantut.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitenden Mazlan Hassan berkata, sepupu mereka yang duduk di kerusi penumpang hadapan patah kaki, manakala seorang kanak-kanak berusia 4 tahun sedang di rawat di Hospital Jerantut.

Katanya, hasil siasatan, lori treler yang datang dari arah bandar Jerantut ke Pekan Damak telah hilang kawalan semasa tiba di selekoh dan cuaca juga sedang hujan ketika kejadian.

“Kereta Proton Saga yang dipandu oleh si mati dalam perjalanan ke bandar Jerantut telah bertembung secara berhadapan.

“Manakala, bahagian ekor lori treler itu telah terkena pada bahagian sisi kanan kenderaan pacuan 4 roda jenis Triton yang berada di hadapan kereta Proton tersebut,” katanya dalam kenyataan akhbar.

Mazlan berkata, akibat kemalangan itu, pemandu kereta Proton telah meninggal dunia di tempat kejadian manakala kakaknya meninggal dunia semasa mendapat rawatan di Unit Kecemasan Hospital Jerantut.

“Penumpang kereta masih dirawat di Hospital Jerantut dan pemandu lori treler (54 tahun) dan pemandu kenderaan pacuan 4 roda(42 tahun) terselamat.

“Keadaan jalan berselekoh, dua lorong dua hala dan garisan putih berkembar di tengah sebagai pembahagi jalan dan ketika kejadian keadaan berhujan dan jalan basah, kemalangan itu disiasat di bawah Sek 41(1) APJ 1987, ” katanya.

Loading...
Terkini