Tumpuan :
Nasional

Dua beradik lemas dihanyut arus ketika mandi laut

Oleh: Kadir Edison

MIRI: Dua beradik lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi di Pantai Lutong di sini petang tadi.

Mangsa, Muhammad Faris Zamri, 16 dan abangnya Muhd Nur Fadilah Zamri, 23 sebelum itu melakukan aktiviti memancing bersama seorang lagi rakan mereka yang terselamat dalam insiden terbabit.

Jurucakap Pusat Gerakkan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 2.17 petang lalu mengarahkan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong untuk ke lokasi kejadian.

Katanya, mayat Muhd Nur Fadilah ditemui terdampar di tepi pantai pada jam 2.40 petang, manakala mayat adiknya pula ditemui terapung kira-kira 30 meter dari pantai pada jam 2.50 petang.

“Sebelum kejadian kedua-dua mangsa terbabit melakukan aktiviti memancing bersama rakan mereka Fabian Ray Jerry, 18, di pantai terbabit sebelum mengambil keputusan untuk mandi pada sebelah tengahari.

“Ketika leka mandi, kedua-dua mangsa telah dibawa arus dan terus tenggelam lalu membuatkan rakan mereka terus menghubungi talian kecemasan 999 untuk bantuan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata, anggota bomba yabg tiba di lokasi kejadian pada jam 2.27 petang terus menjalankan pencarian di sepanjang pantai itu dan berjaya menemui kedua-dua mangsa.

Katanya, Kedua-dua mangsa yang ditemui kemudiannya dibawa ke tempat yang selamat, tidak menunjukkan reaksi yang mereka masih bernyawa.

Bagaimanapun, kakitangan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang tiba di tempat kejadian mengesahkan kedua-dua mangsa meninggal dunia.

Mayat kedua-dua mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini