KENINGAU: Cubaan seorang kakak menyelamatkan adiknya yang tergelincir sebelum terjatuh ke dalam sungai, berakhir tragedi apabila kedua-dua mereka dikhuatiri lemas di Sungai Pegalan, berhampiran Kampung Lingkudau, di sini petang semalam.
Kakaknya nekad terjun untuk menyelamatkan adiknya, namun kedua-dua beradik itu hilang di dalam air dan seorang rakan mereka kemudiannya meminta bantuan daripada penduduk kampung.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, Azila Jabar, 12, dan adiknya Arlina, 9, dipercayai bermain berhampiran tebing sungai, sebelum terjatuh ke dalam sungai berkenaan dan terkejut dengan kejadian itu, kakaknya terjun menyelamatkan adiknya
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Sharudy Delamin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.07 petang.
“Bilik kawalan BBP Keningau lapor terima panggilan terdapat dua kanak-kanak perempuan dikhuatiri lemas di sungai.
“Setiba di lokasi, pasukan bomba bersama polis menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan cara surface searching di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi.
Setakat malam semalam, kedua-dua mangsa belum ditemui. Operasi SAR masih dilakukan oleh pasukan penyelamat.