KUALA LUMPUR: Dua bangkai kucing yang ditemukan mati di kawasan Universiti Malaya (UM) dihantar ke Makmal Veterinar untuk bedah siasat.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, ia membabitkan bangkai kucing yang dilaporkan seorang aktivis haiwan dan kucing yang ditemui mati semalam.
“Polis sudah merakam keterangan aktivis haiwan terbabit dan bangkai kucing yang ditemui pada 20 Disember lalu sudah diserahkan kepada polis.
“Bangkai kucing itu dihantar ke Makmal Veterinar bagi tujuan pemeriksaan dan bedah siasat akan dilakukan esok.
“Pemeriksaan dan bedah siasat sama turut akan dilakukan kepada kucing yang ditemui dekat Fakulti Sukan dan Sains Eksesais UM semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rusdi berkata, setakat ini seramai tujuh individu diambil keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Katanya, mereka terdiri daripada pensyarah, penuntut universiti dan aktivis haiwan terbabit.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.