Tumpuan :
Nasional

Dua anggota tentera cedera, trak terbabit kemalangan

Dua anggota tentera cedera selepas terbabit kemalangan di Jalan FELDA Palong 7, 8 – FELDA Palong 4, 5 dan 6 tengah hari tadi.

JEMPOL: Dua anggota tentera cedera selepas trak dinaiki mereka terbabit kemalangan di Jalan FELDA Palong 7, 8 – FELDA Palong 4, 5 dan 6 pada jam 1.00 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata kejadian berlaku ketika dua anggota tentera itu baharu selesai menjalani latihan di Kem Batu 10, Kuantan dan dalam perjalanan balik ke Kem Sungai Udang, Melaka.

Katanya, ketika tiba di lokasi kejadian pemandu trak membawa bekalan makanan dan peralatan dapur tiba-tiba hilang kawalan.

Trak dipandunya terbabas sebelum melanggar sebatang tiang elektrik dan masuk ke bahu jalan sebelah kiri.

Akibat kejadian itu pemandu trak Prebet Mohd Rafizi Mohd Nasajudin, 21, mengalami kecederaan patah bahu kiri dan cedera di kaki manakala Staf Sarjan Mohamad Idris Abdul Talib, 38, mengalami kecederaan ringan.

Katanya kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Jempol bagi mendapatkan rawatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis meminta saksi kejadian berkenaan supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, Inspektor Mohd Amirul Syafiq Mohd Yusof di talian 016-2348669 bagi membantu siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini