Oleh: Aslina Abu Bakar
KUALA LUMPUR: Selepas empat tahun menjadi sebahagian keluarga Zoo Negara, dua anak panda gergasi, Yi Yi dan Sheng Yi hari ini dihantar pulang ke China.
Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata penghantaran pulang kedua dua anak panda betina itu adalah untuk tujuan konservasi yang membolehkan ia bergaul dan membiak dengan panda gergasi lain.
“Memandangkan Sheng Yi telah mencecah usia 24 bulan pada Mei lalu, Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar China (CWCA) telah bersetuju dengan cadangan Malaysia untuk menghantar kedua-dua anak panda gergasi ini bersama-sama.
Sementara itu menurutnya satu penilaian bersama sedang dilaksanakan dengan CWCA bagi menilai pencapaian Perjanjian Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Panda Gergasi.
Penilaian itu merangkumi, aspek tahap kesihatan, pembiakan, pendidikan dan kesedaran awam, penyelidikan,dan hubungan dua hala.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Penghantaran Pulang Anak Panda Gergasi kedua dan ketiga itu ke Republik Rakyat China (RRC) yang berlangsung di Pusat Konservasi Giant Panda (PKGP), Zoo Negara.
Majlis turut dihadiri oleh Duta Besar RRC ke Malaysia, TYT Ouyang Yujing, dan Presiden Malaysian Zoological Society (MZS) Datuk Zaharin Md Arif.
Penghantaran pulang Yi Yi dan Sheng Yi dilaksanakan sebagai mematuhi Perjanjian Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda yang ditandatangani antara kedua-dua pihak pada tahun 2012 sempena sambutan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara Malaysia dan RRC.
“ Yi Yi yang kini berumur 5 tahun sepatutnya dihantar pulang pada tahun 2020 namun terpaksa ditangguhkan susulan penularan pandemik COVID-19.
“ Yi Yi yang bermaksud persahabatan, dan Sheng Yi yang bermaksud keamanan dan persahabatan menjadi nama pilihan bagi kedua-dua anak Giant Panda daripada pasangan Fu Wa dan Feng Yi yang tiba di Malaysia pada 21 Mei 2014.
“Nama-nama ini memberikan maksud yang signifikan dalam mengukuhkan ikatan antara Malaysia dan RRC,” katanya.