comscore
Tumpuan :
Nasional

DST naik dua peratus, harga perkhidmatan digital dijangka melambung

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Peniaga dijangka menggunakan alasan kenaikan Cukai Perkhidmatan Digital (DST) sebanyak dua peratus mulai 1 Mac ini untuk menaikkan harga barang, peralatan dan perkhidmatan digital.

Perkara itu dinyatakan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong yang bimbang dengan pelaksanaan DST akan membuka ruang kepada golongan peniaga menggunakan alasan kenaikan itu untuk melonjakkan harga.

Katanya, kenaikan dua peratus DST itu sudah tentu akan meresahkan pengguna.

“Selepas ‘fenomena’ kenaikan harga, kali ini DST pula! Ini berita yang meresahkan pelanggan.”

“Ini bukan sekadar dua peratus, malah ia akan dinaikkan jauh lebih tinggi daripada dua peratus kerana golongan peniaga akan menggunakan alasan kenaikan ini untuk melonjakkan harga.”

“Akhirnya siapa yang menanggungnya? Tidak lain tidak bukan, pelangganlah yang akan menanggung segala kenaikan mendadak ini,” katanya dalam satu hantaran di media sosialnya, hari ini.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada pengumuman Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengenai kadar cukai ke atas perkhidmatan digital akan dinaikkan daripada dari enam peratus kepada lapan peratus pada 1 Mac.

Ia susulan kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada Oktober lalu.

Cukai digital yang berkuat kuasa 1 Januari 2020 menyaksikan levi enam peratus dikenakan terhadap perkhidmatan dalam talian import, termasuk perisian, muzik, video dan pengiklanan digital.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong

Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata beliau percaya harga ditawarkan di Apple Store, Google Services, Netflix, Disney+, Amazon Prime akan naik.

“Ini mengakibatkan langganan aplikasi, apa yang ditawarkan peniaga di platform Lazada, Shopee, TikTok dan Grab akan melambung tinggi mulai 1 Mac ini.”

“Jika kita mengimbas kembali, pada Januari 2020, apabila DST mula diperkenalkan sebanyak enam peratus, kenaikan harga perkhidmatan digital tidak berhenti sekadar enam peratus saja kerana ada peniaga yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk menaikkan harga jauh lebih tinggi daripada enam peratus pada Januari 2020,” katanya.

Beliau juga menyatakan kebimbangan dengan kenaikan cukai barang yang lain seperti tarif air naik 22 peratus selepas kenaikan bil elektrik baru-baru ini selain Cukai Barang Bernilai Rendah (LVGT) serta Cukai Barang Bernilai Tinggi (HVGT) juga akan dikuatkuasakan pada tahun ini.

“Kenaikan kadar SST daripada enam peratus kepada lapan peratus serta peluasan skop SST sudah pasti berlaku secara serentak.”

“Rakyat juga risau tentang penarikan subsidi oleh kerajaan. Mampukah rakyat Malaysia sebagai pengguna bernafas dalam situasi yang penuh cabaran? Inilah kebimbangan saya,” katanya.

Loading...
Terkini