PETALING JAYA: Kurang 24 jam selepas upacara mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi topik bualan tinggi di Twitter.
Lebih 80,000 ciapan dibuat dengan kata kunci “DSAI” dan “Wan Azizah” mengatasi senarai trend di Twitter sehingga 6 pagi hari ini.
Semakan New Straits Times mendapati rakyat Malaysia aktif menciap mengenai pemimpin itu dan isterinya sepanjang malam berikutan jurang masa antara ciapan hanya beberapa saat.
Ramai daripada mereka mengucapkan tahniah kepada perdana menteri serta merakamkan kesyukuran atas pelantikan itu.
Kata kunci “cuti umum” juga sohor selepas diciap lebih 30,000 ciapan.
Rakyat Malaysia jelas gembira dengan pengumuman hari kelepasan am sempena pembentukan kerajaan perpaduan itu, yang membolehkan masing-masing menikmati cuti hujung minggu yang panjang.
Pada sidang media pertamanya malam tadi, Anwar mengisytiharkan Isnin, 28 November sebagai cuti umum di seluruh negara.
Beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di sini, jam 5 petang semalam.