KUALA LUMPUR: Sebanyak 69 sesi libat urus telah dijalankan selain pembentangan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi di Parlimen bagi mengatasi isu keresahan pemilik rumah atau hartanah berhubung nilai ambang proses pembaharuan semula bandar.
Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, kementeriannya juga telah menjalankan sesi libat urus bersama kerajaan Sabah pada November lalu dan akan diikuti kerajaan Sarawak pada Januari tahun hadapan.
“Untuk makluman, sehingga kini, KPKT melalui PLANMalaysia telah mengadakan sebanyak 69 sesi libat urus selain pembentangan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi di Parlimen pada 17 Oktober 2024 khusus untuk mendapatkan pandangan dan buy-in Ahli-Ahli Parlimen di dalam JKPK.
“Sesi libat urus bersama Kerajaan Negeri Sabah telah diadakan pada 7 November 2024 manakala Negeri Sarawak pada Januari 2025 agar keperluan khusus mereka turut diberi perhatian, mengambil kira keunikan demografi dan geografi,” jelasnya.
Tambahnya, draf Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) turut mencadangkan nilai ambang pada tahap 80 peratus bagi bangunan berusia kurang 30 tahun.
Manakala 75 peratus bagi bangunan melebihi 30 tahun dan 51 peratus bagi bangunan yang tidak selamat dan terbengkalai selepas mengambil kira pandangan dan pertimbangan responden daripada sesi libat urus yang telah dibuat.
“Melalui akta ini hak dan kepentingan kaum Bumiputera termasuk anak negeri Sabah dan Sarawak akan kekal terpelihara berdasarkan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.
Tambah Kor Ming, syor terbabit dibuat bertujuan mendapatkan persetujuan pemilik tanah bagi menyertai program PSB.
“Pencapaian kadar ini sangat penting bagi membolehkan proses mobilisasi program PSB dapat dimulakan.
“Bagaimanapun sehingga persetujuan sebulat suara bagi tujuan penamatan pecah bahagi bangunan dan tanah tidak diperolehi, pembinaan fizikal tidak akan dimulakan bagi memastikan keselesaan dan keharmonian awam dan masyarakat,” katanya lagi.
Beliau turut mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan dan Jawatankuasa Eksekutif Negeri bagi melaksanakan peranan memastikan pemaju yang layak mempunyai kompetensi dan prospek pelaksanaan PSB.
Tambahnya, jawatankuasa berkenaan turut bertanggungjawab dalam melindungi kepentingan pemilik sekiranya berlaku masalah sepanjang proses PSB.
“Jawatankuasa ini boleh menetapkan exit plan atau Pelan Kontigensi PSB (dalam perundangan subsidiari Kaedah-Kaedah) bagi mengatasi masalah jika suatu projek PSB tidak berjaya bagi menjaga hak dan kepentingan pelbagai pihak terbabit dengan PSB.
“Bagi memperkukuh perlindungan ke atas hak dan kepentingan pemilik hartanah, satu Jawatankuasa Mediasi boleh ditubuhkan bagi menyelesaikan masalah berkaitan projek PSB,” ujarnyq.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 Peringkat Jawatankuasa bagi KPT di Dewan Rakyat hari ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.