Oleh: Zahir Senapiah
JOHOR BAHRU: Draf Perjanjian Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bakal ditandatangani semasa Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11, yang dijangka sebelum Januari 2025.
Menurut satu kenyataan bersama yang dikeluarkan di akhir mesyuarat petang tadi, keputusan itu dicapai pada mesyuarat Jawatankuasa Bersama peringkat Menteri Malaysia-Singapura bagi Iskandar Malaysia (JMCIM) yang diadakan hari ini.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan bersama oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri Pembangunan Negara Singapura, Desmond Lee.
Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Pengangkutan Singapura, Chee Hong Tat serta Pegawai kanan kedua-dua negara.
Mesyuarat khas JMCIM diadakan bagi membincangkan pelaksanaan JS-SEZ yang ditubuhkan khusus bagi mencari jalan secara bersama meningkatkan ekonomi serta perniagaan Johor dan Singapura.
Untuk jangka panjang, JMCIM bersetuju untuk menstrukturkan semula bagi mengukuhkan kerjasama dalam JS-SEZ dan seterusnya memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang lain, termasuk pengangkutan dan alam sekitar.
JS-SEZ diumumkan secara rasmi pada Oktober 2023 semasa lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Singapura untuk pemukiman pemimpin ke-10.
Projek itu meliputi Iskandar Malaysia dan Pengerang, seluas lebih 3,000 kilometer persegi merentasi selatan Johor, lebih empat kali ganda saiz Singapura.
JS-SEZ dijangka menarik pelaburan baharu, merangsang perdagangan dan menjana peluang pekerjaan sekali gus mampu mencari jalan keluar kepada pelbagai isu dua hala membabitkan Malaysia-Singapura sebelum ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.