BETONG: Kerajaan belum menerima sebarang surat rasmi daripada ahli parlimen pembangkang berhubung keputusan penolakan dua draf Memorandum Persefahaman (MoU) peruntukan pembangkang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan sebarang tindakan lanjut akan diputuskan jawatankuasa majlis perundingan kerajaan perpaduan.
Tambah beliau, apa yang dihantar kepada ahli parlimen pembangkang sebelum ini adalah draf cadangan.
“Saya menunggu secara hitam putih daripada mereka secara bersurat, dan bila dah ada nanti saya akan buat di peringkat jawatankuasa majlis rundingan kerajaan perpaduan.
“Dari situ kita bincang perkara sama ada kita nak terus berunding, ataupun adakah ini muktamad dari pihak pembangkang, bahawa mereka taknak berunding. Itu saya tak pasti, apa mereka nyatakan mereka tidak bersetuju dengan segala syarat.
“Sama ada kita nak menilai pandangan mereka, saya serahkan semua tu nanti dalam mesyuarat jawatankuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir ke program Regata Tandang Sari Pusa 2024, di Betong, Sarawak.
Terdahulu, Perikatan Nasional (PN) hari ini mengesahkan sebulat suara menolak dua draf cadangan memorandum persefahaman (MoU) daripada kerajaan berhubung peruntukan kepada Ahli Parlimen PN.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata keputusan menolak dua draf cadangan MoU yang membabitkan antara Kerajaan dengan parti PN dan antara Kerajaan dengan semua Ahli Parlimen PN itu dibuat atas empat sebab asas.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.