Tumpuan :
Nasional

Dr Raja Subramaniam dilantik sebagai Pakar SAB Pertubuhan Larangan Senjata Kimia

Bangunan Wisma Putra di Putrajaya.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Pakar berkaitan senjata kimia warga Malaysia, Dr Raja Subramaniam dilantik sebagai pakar dalam ‘Scientific Advisory Board’ (SAB) bagi Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW).

Wisma Putra dalam kenyataan mengumumkan pelantikan itu memaklumkan, Dr Raja akan memulakan perkhidmatan beliau sebagai Pakar SAB bermula 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2027.

Mempunyai lebih 23 tahun kepakaran khusus dalam hal yang berkaitan dengan senjata kimia, beliau adalah seorang daripada tujuh pakar dari rantau Asia dalam SAB.

“SAB terdiri daripada 25 pakar dalam kalangan Negara Anggota OPCW yang berkhidmat atas
kapasiti peribadi dalam memberikan nasihat khusus kepada Ketua Pengarah OPCW yang berpusat di The Hague (Belanda).

“Ia mengenai perkembangan saintifik dan teknologi yang berkaitan dengan pelaksanaan Konvensyen Senjata Kimia di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” menurut kenyataan itu.

SAB bersidang setahun sekali atau mengikut keperluan seperti yang dikehendaki oleh Ketua Pengarah OPCW.

Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, Dr Raja memiliki Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Analisis Senjata Kimia daripada National Swedish Chemical, Biological, Radioactive and Nuclear (CBRN) Defence Research.

Beliau kini sedang berkhidmat sebagai Setiausaha Bahagian Pihak Berkuasa Kebangsaan Konvensyen Senjata Kimia (PBKKSK) di Kementerian Luar untuk penggal kedua.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini