Tumpuan :
Nasional

Dr Mohd Zahari dilantik Pengarah JPPKK baharu

Dr Mohd Zahari Ismail dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Pengarah Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), Dr Mohd Zahari Ismail dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Kementerian Pengajian Tinggi dalam satu kenyataan berkata, pihaknya percaya Dr Mohd Zahari, 57, berkemampuan untuk memacu JPPKK sebagai peneraju Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang unggul berdasarkan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki.

“Dr Mohd Zahari sebelum ini berkhidmat sebagai Pengarah PSA sejak 13 Julai 2018. Beliau pernah menyandang jawatan sebagai Pengarah di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) bermula pada 16 Februari 2016 sehingga 12 Julai 2018. Beliau juga pernah menyandang jawatan sebagai Timbalan Pengarah Akademik di Politeknik Balik Pulau (PBU) mulai 16 Februari 2010 sehingga 15 Disember 2011,” menurut kenyataan itu.

Dr Mohd Zahari berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum melanjutkan pengajian dalam Sijil Pendidikan daripada Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Bahru.

Graduan Sarjana Sains Pentadbiran Perniagaan di Universiti Utara Malaysia (UUM) itu turut memperoleh Doktor Falsafah Pengurusan (PhD) dari University Of Hull, United Kingdom.

“KPT merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Zainab Ahmad atas jasa bakti beliau menerajui JPPKK sebelum ini,” katanya.

Zainab adalah wanita pertama menjawat jawatan berkenaan pada 5 Januari 2021. -BULETIN TV3

Loading...
Terkini