Tumpuan :
Nasional

Dr M fail saman fitnah RM150 juta terhadap Anwar

 

SHAH ALAM: Tun Dr Mahathir Mohamad memfailkan saman fitnah RM150 juta terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mendakwa beliau memperkayakan dirinya, keluarganya dan rasis.

Tuntutan saman itu difailkan beliau di Mahkamah Tinggi Shah Alam melalui firma guaman Tetuan Law Practice of Rafique,  dua hari lalu dengan menamakan Anwar sebagai defendan tunggal.

Bekas Perdana Menteri berusia 97 tahun itu menuntut ganti rugi am RM50 juta dan teladan  RM100 juta.

Saman fitnah itu berhubung ucapan Perdana Menteri di Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: “Pelaksanaan Sebuah Idealisme” , 18 Mac lalu.

Dr Mahathir mendakwa, kenyataan Anwar dalam ucapannya pada kongres itu membawa maksud beliau membolot harta untuk keluarga dan kehilangan harta, aset atau saham orang Melayu adalah berkait dengan harta, aset atau saham milik keluarganya.

Kata beliau, beberapa kenyataan Anwar dalam ucapan itu berbaur fitnah dan tohmahan yang berniat jahat bertujuan untuk menjatuhkan dan merosakkan reputasi serta imejnya sebagai negarawan dan bekas Perdana Menteri.

Menurut Dr Mahathir dalam pernyataan tuntutannya, keseluruhan program itu dipaparkan secara siaran langsung antara lainnya melalui sidang ‘Facebook live’ akaun Facebook milik Anwar sendiri dan di saluran YouTube Parti Keadilan Rakyat.

 

Loading...
Terkini