KOTA BHARU: Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Kelantan, Datuk Dr Izani Husin memohon maaf kerana masih ada penduduk di negeri itu yang tidak mendapat bekalan air bersih ketika sambutan Aidilfitri ini.
“Bagaimanapun saya akui bekalan air ini tidak dapat dibekalkan kepada semua dan saya memohon maaf. Kita sudah melakukannya dengan pelbagai cara.”
Katanya, punca utama bekalan air tidak mencukupi disebabkan keadaan cuaca yang panas.
Keadaan menjadi semakin buruk kerana bekalan air sebelum ini memang sudah di tahap tidak mencukupi dan apabila perantau pulang ke kampung halaman menyambut Aidilfitri, ia menambahkan lagi kadar penggunaan air.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika Sambutan Aidilfitri PAS Kawasan Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud.
Mengulas lanjut, Dr Izani berkata sebanyak 396 tangki air statik dan 39 lori tangki air disediakan bagi menampung keperluan isi rumah di Kelantan susulan penggunaan bekalan air yang maksimum ketika perayaan Aidilfitri.
Ini tidak termasuk pelbagai penambahbaikan lain bagi mengatasi masalah air di Kelantan.
“Apabila bekalan air tidak cukup, kita bina loji bagi mengatasinya, cuma mengambil masa untuk disiapkan disebabkan ia membabitkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan juga Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).”
“Sekarang ini sudah ada 42 buah loji yang sedia ada dan beberapa loji yang sedang dalam pembinaan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2027 dan boleh beroperasi pada tahun 2028.”
Dr Izani mendedahkan pihaknya turut berdepan masalah tapak takungan air di Merbau Chondong berikutan lokasinya yang terlalu rendah menyebabkan kapasiti air berkurang.
Beliau sekali lagi menasihatkan penduduk supaya berjimat cermat dan berhemah menggunakan air terutamanya dalam keadaan cuaca panas pada ketika ini yang menyebabkan bekalan air menyusut.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.