Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Dr Farah Nini Dusuki dilantik sebagai Pesuruhjaya Kanak-Kanak bagi menganggotai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 8 Mac lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pelantikan Farah Nini bagi tempoh 2023-2025 telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menurut subseksyen 5 (2) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 [Akta 597].
“Farah Nini mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam bidang hak asasi manusia dan undang-undang berhubung kanak-kanak. Beliau kini seorang Pensyarah Kanan di Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya sejak Disember 2007,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Farah Nini pernah berkhidmat di Ahmad Ibrahim Kulliyyah of Laws, Universiti Islam Antarabangsa selama 15 tahun.
Dr Farah Nini Dusuki.
Beliau memperolehi ijazah doktor falsafah (PhD) dari Universiti Cardiff, Wales, United Kingdom pada 2002 dengan tesis yang menganalisis permasalahan sosio-perundangan bagi melindungi kanak-kanak daripada penderaan dan pengabaian.
Menurut Azalina, bidang-bidang kajian Farah Nini merangkumi perundangan mengenai pengadilan jenayah, undang-undang kanak-kanak, perlindungan remaja dalam isu kesihatan reproduktif seksual serta pelaksanaan dan penguatkuasaan hak kanak-kanak di negara ini.
“Kerajaan berharap dengan lantikan Farah Nini sebagai Pesuruhjaya Kanak-Kanak, pelbagai isu kanak-kanak yang berlaku di Malaysia akan diberi perhatian yang lebih mendalam bagi memastikan hak asasi serta keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak di negara kita sentiasa terpelihara,” katanya.
18 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, seorang Pesuruhjaya Kanak-Kanak dilantik menganggotai SUHAKAM berkuat kuasa serta-merta bagi menangani masalah penderaan dan sosial membabitkan kelompok itu.
Anwar berkata, pelantikan pesuruhjaya tersebut adalah sebagai cabang khas yang mempunyai autonomi di bawah SUHAKAM.