KUALA LUMPUR: Isu caj dialisis yang dihadapi oleh penduduk Tenom, Sabah, menjentik hati Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sehingga menitiskan air mata di Dewan Rakyat, hari ini.
Dr Dzulkefly kedengaran sebak beberapa kali ketika menyentuh isu dialisis dalam penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 bagi Kementerian Kesihatan.
“Sebentar tadi, Tenom menceritakan kepada kita betapa rakyatnya akhirnya meninggal dunia…Fasiliti umpama dialisis, bukan saja sukar untuk didapati tetapi tidak mampu dibayar, dengan caj hanya RM80 untuk setiap sesi.
“Di tambah dengan kos pengangkutan, akhirnya mereka memilih untuk tidak melakukan dialisis dan berakhir apabila ia dibayar dengan nyawa. Kesemua ini mengingatkan akan tanggungjawab saya, menteri yang…,” katanya dengan nada sebak sehingga gagal meneruskan penggulungan.
Beliau kemudiannya duduk dan minum air selepas diarahkan Ahli Parlimen yang mempengerusikan persidangan itu, Datuk Mohd Shahar Abdullah.
Sebaik meneguk air, Dr Dzulkefly kembali meneruskan sesi penggulungan beliau dengan berkata, caj berkenaan sebenarnya tidak wajar dikenakan kepada rakyat sekiranya terpaksa dibayar dengan nyawa.
Terdahulu, Riduan Rubin (BEBAS-Tenom) dalam perbahasannya memaklumkan bahawa ada di kalangan pesakit di kawasan Tenom yang tidak mampu meneruskan rawatan sehingga meninggal dunia.
Katanya, penduduk terpaksa membayar sehingga RM120 untuk mendapatkan kos rawatan sebanyak tiga kali seminggu, ditambah dengan kos pengangkutan dan perjalanan yang tinggi.
“Disebabkan ini, ada di kalangan pesakit yang tidak meneruskan rawatan kerana tidak mampu menanggung kos rawatan perjalanan dan membiarkan diri mereka saja sehingga meninggal dunia.
“Saya memahami kesusahan yang dihadapi oleh pesakit ini dan memohon jasa baik kementerian… supaya mengkaji semula pengecualian caj ini bagi memastikan keadilan sosial dan hak untuk mendapatkan rawatan terbaik dapat diberikan kepada semua rakyat,” katanya.
Dalam penggulungannya, Dr Dzulkefly berkata, cabaran utama Kementerian Kesihatan adalah terkait dengan isu bayaran rawatan di hospital swasta.
Katanya, dalam menentukan bayaran di hospital awam, kementerian tertakluk kepada Akta Yuran Perubatan.
“Namun, bagi bayaran yang dikenakan oleh fasiliti swasta, kita tertakluk kepada Akta 586, di mana Jadual 13 menentukan caj yang boleh kita kenakan hanya terkait kepada yuran konsultasi, selainnya kita tidak punya apa-apa kuasa,” katanya.
Sehubungan itu, tegasnya peranan Kementerian Kesihatan adalah untuk menggesa operator hospital swasta supaya tidak mengenakan caj yang melampau.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.