Tumpuan :
Nasional

Dr Akmal terima ugutan bunuh

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh terima ugutan bunuh, hari ini. – Foto: NSTP

JASIN: Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh mendakwa menerima satu ugutan bunuh daripada pihak tidak dikenali hari ini.

Dalam satu video yang dimuat naik di Facebook, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau dan EXCO Melaka itu berkata ugutan itu dimaklumkan oleh seseorang yang menghubunginya ketika dia dalam perjalanan ke satu program di Lipat Kajang, di sini pagi tadi.

“Saya terima satu panggilan telefon daripada seorang hamba Allah yang menyatakan bahawa dia risau kerana dia mendengar ada satu ugutan bunuh terhadap saya, malah dia memaklumkan, ugutan jika Ketua Pemuda UMNO ini terus bercakap mengenai soal (pasar mini) KK Mart ini dia pasti akan ditembak mati satu hari nanti.”

Tambah Dr Muhamad Akmal, individu terbabit memaklumkan dia sudah membuat laporan polis berhubung apa yang didengarinya itu.

Jelas Dr Muhamad Akmal, beliau juga akan membuat satu laporan jam 5.30 petang ini untuk melindungi dirinya dan keluarga.

Pada masa sama beliau berjanji tidak akan berganjak daripada pendiriannya sebelum ini dan mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut.

Dr Muhamad Akmal yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin sebelum ini lantang menyuarakan bantahan terhadap penjualan stoking yang tertera kalimah Allah.

Ia kemudian disusuli dengan kempen boikot KK Mart berikutan kegagalan pihak pengurusan pasar mini berkenaan untuk menggantung kain rentang permohonan maaf di semua 881 cawangannya di seluruh negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

 

Loading...
Terkini