comscore
Tumpuan :
Nasional

Dr Abdul Majid tokoh Maal Hijrah Selangor

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah (dua kiri) berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1446H kepada Datuk Abdul Majid Omar (kanan) pada Ambang Hijrah dan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor 1446H/2024M di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

SHAH ALAM: Bekas Timbalan Mufti Selangor, Datuk Dr Abdul Majid Omar diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Selangor sempena sambutan Maal Hijrah 1446H peringkat negeri, malam ini.

Pengumuman itu dilakukan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengurniakan penganugerahan itu kepada Abdul Majid selepas menunaikan solat bersama rakyat selain bacaan doa dan ceramah sempena sambutan Maal Hijrah.

Turut berangkat, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dengan diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Mohd Shahzihan berkata, Abdul Majid, 84, memulakan pengajian tinggi pada 1979 di Universiti Nasional Indonesia (UNAS) dalam jurusan Bahasa dan Kesusasteraan.

Katanya, selepas berkhidmat sebagai guru di beberapa sekolah, anak kelahiran Kampung Kuantan, Kuala Selangor itu turut terbabit dalam pentadbiran hal ehwal Islam dengan mengakhiri kerjayanya sebagai Timbalan Mufti Selangor pada 2015.

“Selepas 17 tahun menyumbang bakti, beliau meneruskan agenda kecintaan ilmunya dengan melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana di Universiti Islam Malaysia (UIM) pada 2019 dan turut dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah di Universiti Selangor (Unisel) dalam bidang Pentadbiran Wakaf tahun lalu.

“Pencapaian dan jasa beliau juga antaranya menjadi Tokoh Guru Kebangsaan dan Selangor, selain pernah dilantik sebagai Penasihat Syariah pelbagai syarikat konglomerat besar,” katanya ketika mengumumkan penganugerahan itu.

Menurut Mohd Shahzihan, Abdul Majid disifatkan seorang agamawan dan pendakwah yang gigih membangunkan ummah menerusi penulisan dan kuliah agama di masjid, surau dan di stesen media penyiaran.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini